TUANKU MIZAN CEMAR DULI MENYELAM BERSAMA KAPAL SELAM PERTAMA NEGARA


Kota Kinabalu, 10 Mac – Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Al Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah Al-Haj telah berangkat mencemar duli untuk menyelam bersama kapal selam pertama negara, Kapal Diraja (KD) TUNKU ABDUL RAHMAN di perairan Laut China Selatan hari ini. Baginda turut diiringi Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz bin Hj Jaafar bersama krew KD TUNKU ABDUL RAHMAN belayar dari Jeti Operasi Markas Angkatan Kapal Selam (MAKS) di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu (PTKK).

Baginda sebelum ini telah tiba di Terminal 2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu pada 9 Mac 2011 dan disambut mesra oleh Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sabah Datuk Seri Panglima Hj Juhar bin Hj Mahiruddin. Turut hadir menyambut keberangkatan baginda juga adalah Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Abdul Aziz bin Hj Jaafar serta para kenamaan dan pegawai-pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Keberangkatan Baginda merupakan julung kali ke Markas Angkatan Kapal Selam (MAKS) TLDM di PTKK semenjak pengoperasian markas ini pada 1 September 2009. Dalam lawatan singkat ini, Baginda telah berkenan melawat di sekitar MAKS termasuklah ke SCORPENE Type Diving Control and Platform Simulator (SIMA) yang terletak di Pusat Latihan Kapal Selam TLDM. SIMA merupakan penyelaku yang dilengkapi pelbagai peralatan canggih menyerupai peralatan di kapal selam untuk tujuan melatih warga kapal selam dan pelatih yang mengikuti kursus kepakaran kapal selam. Baginda juga turut diberi penerangan mengenai peranan dan keupayaan aset tempur bawah permukaan TLDM masa kini.

Dalam pelayaran ulung Baginda bersama kapal selam pertama negara juga, aset-aset TLDM seperti KD LEKIU dari kelas Frigat 2000, KD KEDAH dari kelas New Generation Patrol Vessel (NGPV) serta helikopter Super Lynx turut mengiringi pelayaran ini. Manakala aset-aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) seperti Helikopter S70 Black Hawk, Helikopter AS61N1 serta Helikopter Nuri juga terlibat dalam menjayakan pelayaran Baginda.

Semasa pelayaran dan penyelaman bersama KD TUNKU ABDUL RAHMAN, baginda telah berkenan menyaksikan demonstrasi melawan kebakaran serta demonstrasi water shot. Selain itu, baginda turut merasai pengalaman ke Maximum Operating Depth di mana KD TUNKU ABDUL RAHMAN telah menyelam ke kedalaman yang mustahil dilakukan mana-mana kapal selam di dunia jika tidak mempunyai krew yang berpengalaman serta kapal selam di tahap pengoperasian yang tinggi. Sebagai bukti dan pengesahan ini, Panglima Tentera Laut telah mempersembahkan Sijil Penyelaman dan Lencana Kehormat Kepakaran Kapal Selam TLDM kepada Seri Paduka Baginda Tuanku yang juga selaku Laksamana Armada TLDM.

Dengan keberangkatan Baginda belayar dan seterusnya menyelam bersama kapal selam KD TUNKU ABDUL RAHMAN ini, maka terbuktilah tahap kesiagaan kapal selam negara sentiasa berada di tahap yang tertinggi. Segala tuduhan yang tidak berasas ke atas kapal selam negara yang mengatakan kapal selam tidak boleh menyelam adalah tidak benar dan satu pembohongan kepada masyarakat di Malaysia. Kapal selam KD TUNKU ABDUL RAHMAN juga telah berjaya melancarkan misil bawah permukaan ke permukaan air jenis Exocet SM39 Blok 2 di perairan Laut China Selatan pada 26 Julai 2010 yang lepas di mana misil tersebut telah mengenai sasaran permukaan berukuran 40 meter panjang pada jarak 40 km (22 batu nautika). Misil telah dilancarkan sewaktu KD TUNKU ABDUL RAHMAN berada pada kedalaman 55 meter di mana ia sukar dikesan oleh sistem penderia bawah air mana-mana kapal permukaan.


sumber dipetik dari : Dzirhan Mahadzir - Defence Journalist

Comments